Sejarah Penanaman Getah di Tanah Melayu.

posted by anak posmen chemor | Labels: , | Posted On Monday, June 20, 2011 at 7:03 AM


Pihak British ketika di Tanah Melayu memberikan penekanan terhadap sektor pertanian yang berasaskan eksport. Pertanian komersial dianggap sebagai penyumbang utama kepada sumber pendapatan kerajaan British pada zaman sebelum merdeka. Antara tanaman komersial yang digalakkan oleh British di Tanah Melayu, termasuk Sabah dan Sarawak pada abad ke-19 termasuklah ubi kayu, tebu, lada hitam, gambir, tembakau dan kopi. Pada abad ke-20, pemodal British telah mula mengusahakan getah untuk tujuan eksport.

Pokok getah (Hevea brasiliensis) ialah pokok dalam famili Euphorbiaceae dan ahli terpenting dalam genus Hevea. Pokok ini penting dari segi ekonomi kerana hasil seperti lateks boleh dikumpulkan dan merupakan sumber utama getah asli. Pokok getah mampu mencapai ketinggian melebihi 30 meter. Lateks putih atau kuning terhasil dalam salur lateks pada kulit pokok, terutamanya pada floem luar. Saluran ini berpilin naik pada batang pokok menurut pusingan ke kanan yang membentuk 30 darjah pada ufuk.

Apabila pokok getah mencapai usia 5-6 tahun, penorehan boleh dilakukan: goresan-goresan dibuat secara ortogon pada salur lateks, dengan kedalaman yang hanya mencukupi untuk mengambil lateks tanpa menjejaskan pertumbuhan pokok. Sap itu dikumpulkan di dalam baldi yang kecil. Pokok-pokok yang lebih tua menghasilkan lebih banyak lateks. Pokok getah pada mulanya hanya tumbuh di Amazonia. Peningkatan permintaan dan jumpaan proses pemvulkanan pada tahun 1839 mendorong perkembangan yang pesat di kawasan tersebut, mengayakan bandar Manaus dan Belem. Nama pokok ini diambil daripada Para, negeri Brazil yang termasuk Belem.

Terdapat juga cubaan dilakukan pada 1873 untuk menanam getah di luar Brazil. Selepas berusaha, dua belas tunas tumbuh di Kebun Bunga Botani Diraja Kew. Pokok-pokok itu kemudian dihantar ke India untuk ditanam tetapi gagal. Percubaan kedua dilakukan dengan sekitar 70,000 benih dihantar ke Kew pada tahun 1875. Sekitar 4% daripada benih-benih itu bertunas, dan pada tahun 1876, sekitar 2,000 anak pokok dihantar, dalam kes Wardian, ke Sri Lanka, dan 22 dihantar ke Kebun Bunga Botani di Singapura. Apabila berjaya ditumbuh di luar negeri asal, Pokok Getah ditanam secara meluas di tanah-tanah jajahan British.

Permintaan yang tinggi terhadap getah bermula selepas berlakunya Revolusi Perindustrian di Eropah. Industri kereta contohnya amat memerlukan getah sebagai medium utama dalam pembuatan tayar. Bagi memenuhi permintaan ini, tanaman getah diperkenalkan oleh pihak British di Tanah Melayu. Pada awalnya, getah ditanam di halaman rumah Residen British Hugh Low di Kuala Kangsar, Perak sebagai tanaman hiasan. Usaha ke arah perkembangan perusahaan getah telah dijalankan oleh Henry N. Ridley apabila beliau dilantik sebagai Pengarah Botanical Garden di Singapura pada tahun 1888. Antara usaha penting yang telah dibuat oleh Ridley termasuklah meyakinkan para peladang untuk menanam getah dengan mengadakan pameran serta mengagihkan benih getah secara percuma. Henry Ridley seterusnya berjaya menemui cara penorehan getah yang sesuai, iaitu sistem menoreh secara ibidem atau seperti bentuk tulang ikan hering, yang tidak merosakkan pokok.

Perkembangan industri pembuatan barangan pengguna seperti kasut, tayar basikal, dan peralatan elektrik telah meningkatkan permintaan getah dan menyebabkan harga getah melambung tinggi. Akhirnya perusahaan getah menjadi perusahaan yang penting di Tanah Melayu. Perusahaan ini juga bertambah pesat kerana disokong oleh kemasukan modal asing, iaitu modal milik pelabur Eropah. Syarikat yang beribu pejabat di London telah membawa masuk modal melalui penubuhan syarikat perwakilannya di Tanah Melayu. Antara syarikat perwakilan penting yang telah membuka ladang serta menguruskan eksport getah termasuklah Harrisons and Crosfield, Boustead Butterfly Estate Agency, Guthrie dan Sime Darby.

Negeri

Tahun

1905

1906

1907

1908

1909

Perak

11,934

29,612

46,167

56,706

68,278

Selangor

25,758

44,821

61,552

82,246

93,953

Negeri Sembilan

5,718

10,663

17,656

27,305

31,945

Pahang

15

483

860

1791

2877

Keluasan kawasan tanaman getah di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (dalam ekar)

Perluasan kawasan tanaman getah di Tanah Melayu adalah disebabkan dasar British yang memberikan galakan dan sokongan kepada modal asing. Selain itu, kadar sewa tanah dan tarif cukai yang dikenakan kepada peladang yang mahu mengusahakan getah juga adalah rendah. British memberikan dividen sebanyak 5% kepada syarikat pengusaha getah pada tahun 1905, selain pengecualian cukai eksport selama 50 tahun.

Kemudahan infrastruktur seperti jalan raya dan jalan kereta api turut disediakan oleh pihak British untuk menghubungkan kawasan pertanian komersial ini dengan pelabuhan dan pusat pentadbiran bagi memudahkan urusan golongan pengusaha, yang digelar sebagai golongan komprador kepada penjajah British. Kerajaan British juga membawa masuk pekerja asing yang kebanyakannya datang daripada selatan India untuk bekerja kerana gaji mereka yang murah. Pekerja asing ini dibawa masuk untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga buruh di lading-ladang getah. Perusahaan getah telah mengalami kemerosotan semasa Zaman Kemelesetan Ekonomi Dunia 1929-1933.

Tahun

Nilai (dalam pound sterling)

1929

50,785,000

1930

28,208,000

1931

13,806,000

1932

9,077,000

1933

14,253,000

1934

32,557,000

Jumlah eksport getah Tanah Melayu (1929-1934)

Harga getah jatuh secara berterusan bermula tahun 1920. Rancangan Sekatan Stevenson diperkenalkan bagi menghalang harga getah daripada terus jatuh. Prinsip asas rancangan ini adalah untuk menghadkan pengeluaran getah oleh negara pengeluar. Rancangan Sekatan Stevenson ini dikuatkuasakan antara November 1922 hingga Oktober 1928. Nilai eksport getah mula kembali stabil selepas tahun 1934 disebabkan oleh permintaan dunia dan kawalan oleh negara pengeluar. – by Izzul Afiq.

Comments:

There are 0 yang membina for Sejarah Penanaman Getah di Tanah Melayu.

Post a Comment